Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 11 Apr (Malaysiaaktif) – 99 SpeedMart Sdn. Bhd. menyumbangkan sebanyak 20,000 Bakul Rahmah berupa barangan keperluan asas yang bernilai RM1 juta untuk diedarkan kepada golongan sasar di seluruh negara.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub kementeriannya menyasarkan agihan 100 peratus pengedaran 130,000 Bakul Rahmah kepada miskin tegar ke seluruh negara hingga Julai ini.
“Setakat ini, kita berjaya kumpul lebih 80,000 bakul dengan kerjasama rakan strategik dan berharap dapat diedarkan sebelum sambutan Aidilfitri ini”.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pelancaran Bakul Rahmah dan Pelepasan Lori 99 SpeedMart di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)@Sentral, di sini semalam.
Tambah beliau lagi, KPDN akan memastikan bantuan diberi secara konsisten termasuk bantuan Bakul Rahmah kepada golongan sasar.
Sehingga kini, inisiatif Bakul Rahmah telah berjaya memanfaatkan lebih dari 34,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
-ZS-