
Laporan/foto: Rajeswari Anbazagan/Muhaimin Musa (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 10 April (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai semalam telah menyantuni seramai 500 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dengan penyampaian Sumbangan Cahaya Ramadan sempena bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
Penerima daripada golongan B40, asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) telah menerima sumbangan berupa bantuan barangan keperluan harian berserta duit raya.
Fahmi berterima kasih kepada Yayasan Telekom Malaysia (TM), kerana memilih Lembah Pantai khususnya PPR Kerinchi untuk penganjuran aktiviti kemasyarakatan itu.
“Kita di Lembah Pantai sangat bernasib baik kerana antara syarikat-syarikat besar yang berpengkalan di Lembah Pantai ini termasuklah TM, seberang jalan je. Ramai yang dari Lembah Pantai kerja di TM. Jadi memang tidak boleh dinafikan Lembah Pantai dan TM berpisah tiada,” ujar Fahmi Fadzil ketika berucap pada Program Cahaya Ramadan di Dataran PPR Kerinchi, di sini.
Fahmi turut meminta agar masyarakat tidak terpedaya atau berkongsi berita palsu mengenai tarikh hari raya.
“Semak dahulu dari sumber rujukan yang sahih iaitu tunggu pengumuman tarikh sah yang akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif TM Datuk Imri Mokhtar turut berharap agar pelbagai program serta sumbangan bekalan makanan dan wang tunai oleh pihak TM dapat memberikan kegembiraan kepada semua penerima.
Program ini turut mengedarkan sebanyak 1,500 pek bubur lambuk kepada penghuni di sini.
-ZS-