Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Jualan Rahmah peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diadakan pada hari Sabtu dan Ahad setiap dua minggu bermula 25 Mac.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata Jualan Rahmah ini akan diadakan di 11 kawasan parlimen di Kuala Lumpur yang melibatkan 15 rakan strategik (pasar raya).
“Ianya diadakan dua minggu sekali bermula 25 Mac lalu sehingga hari raya ketujuh dengan menawarkan lebih 30 jenis barangan keperluan harian serta asas pada harga diskaun 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa,” jelas Fuziah Salleh ketika ditemui setelah menyempurnakan Pelancaran Jualan Rahmah dan Majlis Iftar bersempena Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di PPR Batu Muda semalam.
Pada program itu sebanyak 1,150 Bakul Rahmah disumbangkan rakan strategik IGB Reit (Midvalley & Gardens), 99 Speedmart, KK Mart dan AEON BiG kepada penduduk PPR itu.
Lebih 2,000 isi rumah di PPR Batu Muda, turut diberikan baucar RM25 bagi setiap keluarga untuk menebus Menu Rahmah yang ditawarkan oleh 18 gerai yang dibuka pada program itu.
Menurut Siti Aishah Abdullah Sani, 46, seorang guru yang, makanan dan barangan keperluan yang dapat ditebus bersama baucar RM25 itu amat berbaloi dan program seumpama ini harus diadakan lagi di kawasan kediaman golongan B40 dan yang memerlukan.
Seorang penduduk warga emas yang tinggal berseorangan, Alli Devi Krishnan, 60, juga menyatakan beliau amat gembira dan bersyukur dengan penganjuran program Jualan Rahmah.
-ZS-