Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)/UniSZA
KUALA NERUS, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Koperasi Kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (Ko-UniSZA) dengan kerjasama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Wilayah Terengganu bersama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menganjurkan Program Bakul Ramadan 2023 untuk membantu asnaf, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Presiden Ko-UniSZA Mohd Faizal Ibrahim, berkata sebanyak 131 bakul Ramadan berjumlah RM7,010 telah berjaya dikumpul termasuk sumbangan RM500 daripada PERTIS dan WADAH.
“Kutipan bakul Ramadan telah bermula 19 Mac lalu dan telah ditutup pada 1 April baru-baru ini,” katanya ketika ditemui dalam program bakul Ramadan 2023, semalam.
Faizal dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan segala kerjasama yang telah diberikan sepanjang program dan berharap program diteruskan lagi tahun depan dengan lebih ramai penyumbang.
“Program ini bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan asnaf sepanjang bulan Ramadan yang mulia dan bakal menyambut Syawal tidak lama lagi,” ujarnya.
-ZS-