Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Sebagai pengguna, rakyat berhak mendapatkan barangan dan pekhidmatan berkualiti bagi menjamin kehidupan yang lebih memuaskan.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Kelantan Azman Ismail, pengguna bebas untuk memilih dan menentukan barangan serta perkhidmatan yang diperlukan berasaskan maklumat yang diperolehi.
“Setiap barangan yang dijual ada tanda harga yang dipamerkan dan pengguna perlu menyemak di mesin pengimbas bagi menentukan harga yang sebenar.
“Jika terdapat perbezaan harga, pengguna boleh melaporkan kepada pihak KPDN untuk siasatan dan tindakan,” katanya ketika merasmikan Program Advokasi Kepenggunaan : Pendidikan Dalam Melestarikan Alam Sekitar di Dewan Datuk Haji Hashim Safin, SMK Belimbing, di sini semalam.
“Sekarang ini kerajaan melalui KPDN telah berusaha membantu rakyat dengan menyalurkan pelbagai inisiatif rahmah dan menawarkan harga barangan murah di pasaran,” katanya.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing, Nur Damia Mohd Hamidy, 14, berkata beliau sangat teruja dan gembira apabila menghadiri program ini kerana memperolehi banyak maklumat dan ilmu pengetahuan pengguna.
“Kita masih perlu mempelajari hak-hak sebagai pengguna supaya kita tidak terperdaya dengan tawaran murah,” katanya yang juga menjuarai pertandingan melukis kepenggunaan bertemakan Pengguna Berdaya, Negara Rahmah Sejahtera.
Seorang lagi pelajar di sekolah yang sama Nurin Marissa Zulkifli, 15, tidak menyangka rakyat di negara ini dilindungi dengan banyak akta-akta dan undang-undang pengguna.
“Jika ada penipuan atau penganiayaan, kita boleh tuntut ganti rugi,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor, Ketua Cawangan KPDN Tanah Merah Ahmad Azizi Abdul Kadir dan ketua-ketua jabatan daerah.
-ZS-