Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Mohamad Firdaus Abd Aziz (Gua Musang)
GUA MUSANG, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Kaedah bersemuka bersama komuniti masih perlu dilaksanakan kerana ia lebih berkesan membabitkan komunikasi dua hala.
Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh Amran Ariffin, berkata program seumpama ini sewajarnya diadakan dengan lebih kerap merangkumi semua lapisan masyarakat dan kampung di daerah ini.
“Menyampaikan informasi terkini dan tepat adalah satu daripada agenda yang penting kepada masyarakat. Oleh itu Jabatan Penerangan harus terus berperanan menyalurkan maklumat kepada masyarakat supaya mereka jelas dan memahami setiap hala tuju yang digariskan kerajaan.
“Walaupun dengan menggunakan peruntukan dan skala yang kecil, Program Sembang Warung yang diadakan di peringkat kampung adalah salah-satu kaedah komunikasi bersemuka yang berkesan dalam mendekati rakyat,” katanya di Program Jalinan Ihsan Wahana Aspirasi (JIWA) Felda Chiku, di sini, Sabtu lalu.
Menurut seorang peserta Che Mood Mat Nawi, 60, dari Felda Chiku 5, program yang berkonsep santai seperti sembang warung ini disenangi masyarakat setempat kerana tidak terlalu formal untuk bertukar-tukar pendapat dan fikiran.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Gua Musang Norhayati Shamsu Anuar dan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
-ZS-