
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Kembara Perpaduan menerusi penganjuran Program Gerak Rahmah (PGR) 2023 ‘Jom Masak Bubur Lambuk’ menjadi permulaan positif ke arah menerapkan nilai-nilai madani, mengeratkan silaturrahim seterusnya menjayakan Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Dr. Kang Tong Hum berkata program ini adalah inisiatif kerajaan menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk menterjemahkan slogan Malaysia Madani.
“Penganjuran program seumpama ini bertepatan dengan konsep Malaysia Madani yang sarat dengan nilai-nilai murni.
“Program yang diadakan secara serentak di seluruh negara ini selain dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat ia juga menggalakkan penyertaan pelbagai kaum,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, menurut Ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tok Bok, Wan Sabri Jaafar, 62, beliau begitu teruja dapat menyertai gotong-royong memasak bubur lambuk.
“Memasak bubur lambuk di bulan Ramadan sememangnya amat mencabar, namun segala penat lelah terasa dihargai apabila melihat orang ramai gembira.
“Kami dapat beramah mesra dengan sahabat daripada hampir seluruh KRT yang terdapat di Daerah Machang untuk sama-sama memasak bubur lambuk,” katanya.
Program ini melibatkan KRT seluruh kawasan Daerah Machang, Tanah Merah dan Jeli telah berjaya memasak 20 kawah bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Machang Supt Mohd Adli Mat Daud.
-ZS-