Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sembang Bubur Lambuk Tradisi Perak

By 3 April 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (LMS)

TAIPING, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Bubur lambuk menjadi juadah pilihan yang dinanti-nantikan pada bulan Ramadan, bukan sahaja kepada umat Islam bahkan seluruh masyarakat tidak kira bangsa atau agama.

Ikon masakan Melayu di Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Toh Puan Hajjah Datin Norisha Abd Rahman atau mesra disapa sebagai Mak Tok, berkata bubur lambuk dalam konteks kemasyarakatan menjadi simbolik kepada makanan dan komuniti.

“Setiap negeri mempunyai identiti bubur lambuknya yang tersendiri dan di Perak, keunikan bubur ini terletak pada bahan-bahan yang digunakan iaitu udang kering, daging atau ayam serta ubi keledek, ubi kentang, lobak dan daun sup berbanding ikan dan pucuk paku merah di sebelah Pantai Timur.

“Semangat gotong-royong amat diperlukan dalam penghasilan bubur lambuk kerana dengan kerjasama berkumpulan dapat mewujudkan sifat menghormati antara satu sama lain,” ujarnya ketika berkongsi pengalaman dalam Sesi Sembang Santai: Tradisi Bubur Lambuk Negeri Perak anjuran Muzium Perak, di sini Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengarah Muzium Perak Zarinah Sarifan, berkata memandangkan program ini berlangsung pada bulan Ramadan, sesi perkongsian sebegini akan diteruskan dengan aktiviti menyediakan bubur lambuk.

“Program ini  melibatkan beberapa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar LMS dengan sebanyak 750 bekas bubur lambuk berjaya disediakan dan diedarkan kepada ahli-ahli KRT terlibat, pengunjung serta orang awam di Muzium Perak Taiping bermula pukul 2.00 petang,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda