Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

YRZSNJ Sumbang RM887,550 Bantuan Pasca Banjir Daerah Batu Pahat

By 11 April 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM887,550 bantuan pasca banjir telah disumbangkan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) kepada manga banjir di daerah Batu Pahat, semalam.

Bantuan yang diserahkan menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Batu Pahat itu telah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abd Rahim kepada Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md Ali.

“Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor amat menitikberatkan kebajikan mangsa-mangsa banjir dan YRZSNJ komited secara konsisten akan meneruskan usaha pasca banjir bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan pasca banjir akan diedarkan dengan segera kepada mereka yang terkesan dengan bencana banjir,” ujar Hishamuddin Abd Rahim.

Menurut Nasri Md Ali, beliau mewakili para penerima dari Batu Pahat menjunjung kasih atas keprihatinan Baginda Tuanku Permaisuri yang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Bantuan pasca banjir berbentuk cek cura dan barangan sumbangan daripada Syarikat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Sdn Bhd dan Yayasan Ng Teng Fong berjumlah RM300,000 serta barangan produk Yeo’s (in-kind) bernilai RM15,000 turut disampaikan oleh Pengarah Pemasaran Syarikat Yeo Hiap Seng, Renda Low kepada YRZSNJ.

Dalam pada itu, penyerahan sumbangan projek Ramadan (bakul makanan) sejumlah 500 set daripada Bulan Sabit Merah Emirates di bawah kelolaan Kedutaan Emirates Arab Bersatu (UAE) Malaysia memberi manfaat kepada 500 keluarga melalui YRZSNJ dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

Seorang penerima bantuan Razali Saien, 52, berkata beliau berterima kasih kepada YRZSNJ kerana menyumbangkan barangan keperluan harian ini.

“Walaupun banjir sudah surut namun masih ada lagi pihak-pihak yang prihatin dengan kesulitan yang dihadapi oleh kami menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya yang berasal dari Kampung Parit Terus Sri Medan.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Khidmat Masyarakat Kebangsaan, Bulan Sabit Merah Malaysia Mohd Rashidi Mohd Nor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda