Laporan/foto: Luqman Hakim (Kuala Selangor)/Air Selangor
SHAH ALAM, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 99 kawasan di wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor bakal mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual pada 22 Mei ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan berkenaan susulan pelaksanaan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.
“Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap pada 23 Mei pukul 3 pagi dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 24 Mei pukul 9 malam.
“Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan telah siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Air Selangor turut menasihatkan penduduk yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” kata kenyataan itu.
-ZS-