Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Berry Taimin (Sabah)
RANAU, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Memainkan lagu moden menggunakan alat muzik tradisi seperti kulintangan bambu dapat menarik minat generasi muda untuk mendengar seterusnya pelajarinya.
Menurut Khairul Parehin Kowasin, 25, kemampuannya memainkan pelbagai lagu moden menjadi tarikan utama pendengar terutamanya golongan muda untuk mengenali lebih dekat alat muzik ini.
“Lagu anak kampung dan Gustavo antara lagu yang biasa saya mainkan kerana sering mendapat permintaan peminat.
“Selain itu, saya telah melahirkan seorang pelapis iaitu adik Danish Adi Putra Alhaddzrie, 13, yang mula mempelajari kulintangan bambu ini sejak berusia 11 tahun.
“Paling membanggakan apabila Putra menjuarai Pertandingan Instrumental Tradisional Malaysia bagi Kategori Solo Sekolah Rendah pada tahun 2021,” kongsinya ketika ditemui di Taman Budaya dan Inovasi Kundasang (Tabik), di sini baru-baru ini.
Tambahnya, apabila semakin ramai anak muda meminati alat muzik tradisi dan mempelajarinya maka warisan budaya ini akan terus terpelihara.
Parehin merupakan peserta akhir pertandingan ‘Worldstar Road to Hollywood’ yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2016.
-ZS-