Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 320 orang pelajar daripada 80 buah sekolah menengah di seluruh Negeri Kelantan, telah diberikan taklimat mengenai Undi 18 oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), melalui program Demokrasi Kita, anjuran Kelab Malaysiaku.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Perancangan Dasar, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mat Lazim Mohamad, program ini membolehkan pelajar memahami Sistem Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.
“Pelaksanaan program ini menjadi platform yang berkesan untuk mendidik pelajar menghormati amalan demokrasi berparlimen, di samping memberi pendedahan awal kepada golongan muda berkaitan perjalanan proses pilihan raya,” ujarnya ketika berucap mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, merasmikan program tersebut di SMK Bandar Machang, semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa hak mengundi seawal 18 tahun, yang diberikan kepada para belia di negara ini, membuka ruang kepada para belia untuk mencurahkan idea-idea segar, dalam menyuburkan lagi sistem demokrasi di Malaysia.
Turut serta pada program naungan Jabatan Penerangan Malaysia ini adalah Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md. Nor; Timbalan Pengarah SPR Negeri Kelantan, Mohd Fadly Mohd Fauzi; dan Pengetua SMK Bandar Machang, Amran Yusoff.
-ZS-