Laporan/foto: Mohd Zahari Zakaria/Shamsul Bahari Abdul Shukor (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Hampir 20,000 orang tetamu telah hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Negeri Pulau Pinang Bersama Perdana Menteri di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, baru-baru ini.
Selain ingin menjamu selera dengan pelbagai juadah menarik yang disediakan, para tetamu juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bersua muka dengan pemimpin nombor satu negara serta barisan pemimpin lain.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan dan amanatnya, berkata Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan di enam negeri bukannya dengan tujuan politik tetapi lebih kepada untuk meraikan hari raya dan bertemu dengan rakyat.
Menurut pengunjung Farid Razali, 40, berkata beliau mendapat tahu mengenai rumah terbuka ini melalui hebahan unit bergerak Jabatan Penerangan Malaysia yang dilakukan di tempat tinggalnya.
“Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir memeriahkan majlis ini bersama-sama keluarganya,” ujarnya.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri dan Timbalan Menteri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat serta ketua-ketua jabatan.
-ZS-