Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Literasi Kewangan Perintis Kualiti Kehidupan Lebih Baik

By 17 Mei 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar/Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini

BACHOK, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Literasi kewangan merujuk kepada kemampuan untuk memahami dan menerapkan pelbagai konsep dan kemahiran kewangan, seperti pengurusan kewangan, penganggaran dan pelaburan bagi menangani, melunaskan hutang serta menilai pertukaran antara pelbagai produk kredit dan pelaburan.

Keyakinan dan keupayaan untuk menguruskan kewangan ialah ciri hidup yang sangat diperlukan untuk mencapai dan mengekalkan kualiti kehidupan yang baik. Mereka yang celik kewangan dapat membuat keputusan kewangan secara bijak pada setiap peringkat kehidupan ke arah peningkatan taraf hidup masing-masing.

Pegawai Khidmat Nasihat Persara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Kelantan Rohana Che Abdullah, yang ditemui di Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Bachok di Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok, di sini baru-baru ini berkata simpanan asas untuk persaraan meningkat setiap tahun dengan kadar RM20,000 setahun dan untuk tahun 2023 kadar simpanan asas untuk bersara adalah sebanyak RM260,000.

“Pendaftaran i-Saraan untuk pelajar menjadi salah satu cara dalam perancangan kewangan bagi memastikan simpanan persaraan mencukupi, di mana pelajar yang mencarum di bawah i-Saraan layak mendapat sumbangan kerajaan sebanyak 15 peratus daripada kadar simpanan atau maksimum RM300 setahun,” katanya.

Seorang pelajar universiti tersebut Anis Ayuni Shahrir, 19, yang mendaftar akaun di KWSP dan juga i-Saraan menyambut baik konsep merancang pendapatan, simpanan dan perbelanjaan.

“Saya telah memuat turun aplikasi Belanjawanku sebaik sahaja mendaftarkan akaun KWSP bagi memastikan pengurusan kewangan saya teratur dan terkawal sebaik melangkah ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Aplikasi tersebut merupakan satu inisiatif KWSP dengan kerjasama Universiti Malaya bagi membantu masyarakat menguruskan perbelanjaan minimum bulanan atas setiap kategori barangan dan perkhidmatan untuk pelbagai isi rumah di Malaysia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda