Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Penipuan cinta dalam talian atau ‘love scam’ mensasarkan remaja yang mencari pasangan kekasih secara mudah.
Menurut Pegawai Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan Inspektor Noorasyikin Abu Hashim, penipuan ini berlaku apabila remaja menerima panggilan yang menggoda dan memujuk rayu untuk bercinta.
“Kebanyakkan sindiket ini mensasarkan golongan remaja yang berduit serta mengarahkan mereka memasukkan wang ke dalam akaun yang tidak dikenali,” katanya ketika menyampaikan taklimat isu-isu semasa untuk para pelajar Kolej Komuniti Daerah Tanah Merah, semalam.
Sementara itu Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Noorul Akma Kamarulzaman, 39, amat bersetuju dengan pendapat ini malah beliau senantiasa mengingatkan para pelajar agar berhati-hati dengan sindiket tersebut.
“Zaman ini para remaja semua ada gajet, mudah menerima dan membuat panggilan kepada mereka yang tidak dikenali.
“Saya sering menasihatkan dan mengingatkan agar berhati-hati kerana takut tertipu,” katanya di program tersebut.
Seorang pelajar Nur Shalin Alia Azuar, 19, dari Taman Suria menyatakan beliau bersyukur apabila mendapat banyak maklumat penipuan cinta yang didedahkan.
“Alhamdulillah maklumat yang saya terima hari ini amat berfaedah dan langkah keselamatan senantiasa diamalkan bagi mengelak penipuan cinta,” katanya.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin, Ketua Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Tanah Merah Ahmad Azizi Abd. Kadir dan 50 orang pelajar Kolej Komuniti Cawangan Tanah Merah.
-ZS-