Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Replika Ketupat Terbesar Tarikan Terbaru di Sungai Siput

By 19 Mei 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Faisal Ahmad Tarmizi (Kuala Kangsar)

SUNGAI SIPUT, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Sebuah replika ketupat terbesar berketinggian 16.46 meter kini menjadi mercu tanda terbaru di Sungai Siput.

Kerja-kerja pembinaan replika yang didirikan di Kampung Bahagia itu bermula pada awal April lalu dengan dihiasi lampu hiasan.

Penduduk, Nurul Wahidah Ahmad, 35, berkata dia berasa kagum melihat replika tersebut buat pertama kali sepanjang hidupnya.

“Sebelum ini replika ketupat terbesar di Melaka, namun kini turut didirikan di kampung halaman saya.

“Saya berharap kawasan replika ketupat yang terletak di Padang Rekreasi Kampung Bahagia ini kekal terjaga dalam usaha menarik pelancong ke Sungai Siput,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, pengunjung, Hidayah Hamidi, 40, amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyalurkan peruntukan untuk membangunkan ketupat terbesar ini.

“Saya berharap agar lebih banyak tarikan dapat diwujudkan di Sungai Siput bagi membantu meningkatkan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Replika ketupat terbesar telah dirasmikan pada 12 Mei lalu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong Loh Sze Yee dalam Majlis Perasmian Ketupat Terbesar dan Sambutan Hari Raya DUN Jalong.

-ZS-

Tinggalkan komen anda