Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Meriah Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bandar Tun Razak

By 21 Mei 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan /Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan pemimpin memeriahkan suasana Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

Tinjauan Malaysia Aktif mendapati masyarakat setempat membanjiri perkarangan stadium mulai pukul 11.00 pagi meskipun majlis bermula pada 12.00 tengah hari.

Wan Azizah yang juga isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata miskin bandar adalah salah satu masalah yang dihadapi di Bandar Tun Razak.

“Isu kos sara hidup dan miskin bandar adalah tumpuan utama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dalam usaha menangani perkara ini secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Menurut beliau, keluarga merupakan unit asas dalam pembentukan sesebuah negara dan kita perlu memperbaiki keluarga terlebih dahulu sekiranya ingin maju selaras dengan gagasan Malaysia Madani.

Beliau turut mengambil kesempatan menyantuni dan beramah mesra dengan warga Bandar Tun Razak yang menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Sementara itu salah seorang penduduk yang hadir, Azizah, 46, berkata dia sememangnya teruja menghadiri rumah terbuka ini.

“Nama saya pun Azizah, sama seperti Kak Wan. Saya amat gembira dapat berjumpa terus dan beramah mesra dengan beliau hari ini,” ujarnya yang teruja berkesempatan mengambil gambar bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan daripada artis jemputan dan artis PENTARAMA. Golongan kanak-kanak turut menerima duit raya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda