Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 2,500 peserta termasuk pelari antarabangsa menyertai Larian Half Marathon Rawang Bypass hari ini.
Larian anjuran kerajaan negeri Selangor dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor tersebut merupakan edisi kedua.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penganjurannya untuk memberi peluang kepada pelari profesional dan amatur merasai cabaran berlari di laluan Rawang Bypass.
“Rawang Bypass adalah antara laluan yang tertinggi di Malaysia yang melintasi beberapa kawasan hutan yang tebal,” katanya ketika ditemui selepas pelepasan peserta, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor Mohd Khairuddin Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Datuk Yazid Sairi.
Sementara itu, Khairudin memaklumkan larian Rawang Bypass dibahagikan dua kategori iaitu 21 kilometer (km) dan 12 km dengan hadiah terkumpul berjumlah RM24,000.
“Half Marathon Rawang Bypass ini akan menjadi acara tahunan di Selangor kerana ia mendapat sambutan termasuk dari luar negara seperti Nigeria dan Kenya.
“Ia membuktikan larian ini sudah terkenal di kalangan peserta Marathon dalam dan luar negara,” katanya.
-ZS-