Laporan/foto: Abassalimi Mohamad (Kluang)
KLUANG, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melancarkan tiga klon kopi baharu iaitu MKL 8, MKL 9 dan MKL 10 serta inovasi tanaman kopi Liberica secara keratan di MARDI Kluang, pagi tadi.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin ketiga-tiga klon kopi tersebut amat disyorkan kepada petani dan pengusaha tanaman kopi untuk meningkatkan hasil sekali gus menjana pendapatan.
“Purata hasil kopi jambu bagi set kopi klon baharu ini adalah antara 17 hingga 25 tan per hektar, iaitu 60 peratus lebih tinggi daripada hasil kopi klon komersial sedia ada. Manakala bagi kaedah teknologi secara keratan dapat mempercepatkan proses pengeluaran antara 8 hingga 9 bulan, berbanding kaedah konvensional yang mengambil masa 15 hingga 16 bulan.
“Klon kopi Liberica baharu MARDI yang berkualiti ini mampu meningkatkan pengeluaran kopi negara serta dapat menjimatkan kos pengeluaran,” katanya.
Menurutnya lagi, usaha penghasilan melalui teknik ini adalah amat signifikan untuk perkembangan industri kopi negara.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Dr. Azman Ismail dan Ketua Pengarah Mardi Dr Mohamad Abdul Ghani.
-ZS-