Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Lebuh Raya Karak, LPT Dijangka Sesak Mulai Hari Ini

By 27 Jun 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menjangkakan aliran trafik yang padat menuju ke Pantai Timur semasa hari puncak dari 27 hingga 28 Jun.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad Imran Gulcharan Abdullah, berkata aliran trafik juga dijangka padat menghala ke Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Julai.

“Kami menjangkakan lonjakan trafik yang signifikan semasa musim perayaan ini dengan lebih satu juta kenderaan dijangka menggunakan KLK, iaitu jangkaan peningkatan sebanyak 70 peratus.

Selain itu, lebih kurang 430 ribu kenderaan dijangka melalui LPT1 dengan anggaran peningkatan sebanyak 60 peratus,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, semua pengguna jalan raya digalakkan mengikuti panduan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

“Kami akan menambah bilangan kakitangan sokongan sehingga 20 peratus seperti petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC) serta 170 anggota RELA di kawasan strategik di sepanjang lebuh raya.

“Lorong kontra juga akan dibuka di lokasi yang sesak dan bersesuaian serta lorong tambahan tol bagi transaksi secara manual,” katanya.

Imran menasihatkan pengguna jalan raya memastikan baki yang mencukupi dalam e-dompet (e-Wallet) dan Touch ‘n’ Go bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol.

-ZS-

Tinggalkan komen anda