Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Program Perak FAMA Fest 2023 menjadi platform kepada petani dan usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka selain menyampaikan perkhidmatan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kepada rakyat.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, adalah menjadi harapan kementerian dan FAMA melalui penganjuran program ini agar pengguna memperolehi produk berasaskan pertanian dan industri asas tani pada harga yang berpatutan.
“Usahawan dan pengeluar produk pertanian dan industri makanan asas tani juga mempunyai platform untuk memasarkan produk jualan mereka di samping dapat mempromosi dan memperkenalkan produk mereka dengan lebih meluas.
“Kita juga berharap rakyat dapat memperolehi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dengan lebih jelas lagi, di samping kesedaran rakyat berkaitan aktiviti dan dasar-dasar kerajaan yang bermanfaat untuk rakyat dapat ditingkatkan,” katanya ketika merasmikan Program Perak FAMA Fest 2023 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini, petang tadi.
Lebih 100 reruai jualan dibuka bersempena program ini meliputi jualan produk makanan, florikultur dan haiwan selain reruai pameran turut dibuka untuk kunjungan orang ramai.
Program Perak FAMA Fest 2023 akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 26 Jun 2023 bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
-ZS-