Laporan/foto: Mohd Firdhaus Akasyah/Nur Haziqah (Kerian)
PARIT BUNTAR, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Perniagaan produk bakeri dan manisan oleh seorang anak tempatan, yang dahulunya diusahakan di rumah kini mampu menjadi sebuah syarikat yang berjaya.
Pengasas Kobis Bunga Holdings Sdn Bhd Norul Syafinas Datuk Abu Bakar, 37, berkata perniagaan yang ditubuhkan pada awal Mei 2013 itu mulanya beroperasi dari rumah sebelum mengorak langkah untuk berniaga di pasar malam, ekspo dan sebagainya.
“Bantuan yang diterima seperti ketuhar dan peti sejuk daripada Jabatan Pertanian serta sewaan bangunan dan geran mesin daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga menjadi antara penyumbang perniagaan ini untuk berkembang maju.
“Bagi saya, pencapaian tertinggi yang pernah dicapai sepanjang mengusahakan perniagaan ini adalah berjaya membantu menaikkan pendapatan suri rumah yang menjadi ejen sebanyak RM7,000 hingga RM8,000 sebulan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selain jualan kek dan biskut, syarikatnya juga menyediakan bengkel atau kelas membuat kek serta perkhidmatan membuat kek kahwin untuk butik pengantin sekitar daerah Kerian.
Norul juga aktif melakukan khidmat masyarakat dengan memberi makanan percuma kepada orang ramai pada setiap hari Isnin dan Jumaat.
-ZS-