Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Sabah)
KENINGAU, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Ibadah korban dijadikan wadah berkongsi rezeki kepada golongan asnaf yang kurang berkemampuan di Kampung Patikang Laut, di sini hari ini.
Menurut Pengerusi Jawantankuasa Ibadah Korban 2023 kampung tersebut, Md. Zulkefli Zainudin, 56, pihaknya menerima 21 orang peserta untuk menjalankan ibadah korban pada tahun ini.
“Sebanyak tiga ekor lembu yang dikorbankan menjadikan 283 agihan penerima mendapat sebahagian daging korban kali ini,” katanya.
Salah seorang peserta Junaidi Naim, 55, memanjatkan rasa kesyukuran kerana dapat berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan.
“Saya berharap ibadah korban yang diadakan di Surau Ali’imran, Kampung Patikang Laut dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan,” katanya.
Bagi Mohd Najib Norman, 37, berpaksikan maksud ibadah korban itu sendiri untuk sanggup berkorban dari segi wang ringgit dan tenaga.
“Ibadah korban ini juga dapat mengeratkan silaturahim bagi komuniti kampung ini,” ujarnya.
-ZS-