Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sambutan Jualan Agro Madani Luar Biasa

By 23 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Program Jualan Agro Madani anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Parit Sulong dengan Kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) dan Yayasan Makmur Yong Peng mendapat sambutan luar biasa oleh masyarakat setempat di perkarangan Agro Bazar Rakyat Parit Sulong, di sini semalam.

Menurut Yang Dipertua MDYP Nur Faiz Jamil, antara pengisian program adalah menyediakan subsidi kepada produk-produk utama keperluan asas masyarakat iaitu beras, minyak masak, telur ayam, ayam segar dan lain-lain.

“Pemberian 10,000 iaitu 5,000 dari Pertubuhan Peladang Kawasan Parit Sulong dan 5,000 subsidi disediakan oleh Yayasan Makmur Yong Peng dapat mengurangkan harga asas barang-barang asas tersebut.

“Sambutan sangat luar biasa dan bukan itu sahaja, program ini turut mendapat manfaat kepada pembayar-pembayar cukai, pemegang-pemegang lesen perniagaan dan sebagainya,” katanya.

ADUN Kawasan Sri Medan Zulkurnain Kamisan, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program yang telah berlangsung dengan baik dan sempurna.

“Sambutan yang menggalakkan bagi setiap jualan murah yang dilakukan dapat memberi bantuan dan pilihan kepada rakyat untuk membeli dengan harga yang lebih murah kerana kos sara hidup kini yang tinggi, jadi program seperti ini akan diteruskan.

“Apabila kita mengadakan jualan murah ini, saya menyeru kepada semua pihak dan agensi-agensi kerajaan serta yayasan yang ada di dalam Negeri Johor terutama dalam Daerah Batu Pahat untuk sama-sama menyumbang memberi harga subsidi kepada rakyat,” katanya.

Menurut Zulkurnain, apa yang dilakukan adalah penjimatan yang boleh dinikmati pembeli dalam mendapatkan keperluan asas.

“Sekurang-kurangnya dapat membantu mereka menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidiladha, Hari Raya Aidilfitri dan juga pada musim persekolahan anak-anak,” ujarnya.

Menurut Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Parit Sulong Firdaus Ikhtiaruddin Izhar, 39, program ini memberi subsidi bagi mengurangkan harga jualan daripada harga semasa dan dikurangkan hampir 30 peratus untuk membantu masyarakat tempatan membeli dengan kadar yang lebih selesa dan murah.

“Program hari ini memberi impak kepada hampir 400 keluarga yang dapat membeli pada harga subsidi iaitu 30 peratus pada setiap barang.

“Walaupun peruntukan yang kecil, tetapi memberi impak yang besar kepada masyarakat untuk berbelanja,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda