Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
KUALA KANGSAR, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Program Ziarah Kasih anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perak nyata memberi sedikit senyuman kelegaan buat penerima sasar di Ulu Kenas, di sini semalam.
Bapa tunggal, Mohamad Ramlee Mohamad Zin, 56, memanjatkan rasa kesyukuran atas kunjungan dan bantuan yang diberikan.
“Faktor kesihatan menyebabkan saya tidak mampu melakukan kerja berat dan atas masalah pengangkutan juga menjadi punca saya tidak dapat melakukan pemeriksaan kesihatan secara konsisten di klinik mahupun hospital.
“Syukur dengan bantuan yang diberikan hari ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya yang menghidap masalah paru-paru berair dan bergantung kepada ubat-ubatan.
Sementara itu, seorang bapa, Saad Darus, 74, berterima kasih dengan sumbangan yang diterima selain turut mengharapkan ada pihak sudi menyalurkan bantuan berupa lampin pakai buang buat anaknya, Sahudayu, 37, yang mengalami masalah saraf selepas terlibat kemalangan jalan raya ketika ke tempat kerja sekitar tujuh tahun lalu.
“Setakat ini, perbelanjaan membeli barangan ini bergantung kepada duit pencen anak memandangkan dia (Sahudayu) merupakan bekas anggota polis selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Bahkan, kami juga berharap jika ada pihak yang sudi menyumbang kerusi roda untuk kegunaan Sahudayu memandangkan kerusi roda sedia ada kerap rosak,” katanya ketika ditemui.
Sumbangan berbentuk kotak makanan ini disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak Mohd Azlan Helmi Helmi sempena Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) Peringkat Negeri Perak.
Selain agihan sumbangan berbentuk kotak makanan, penerima juga menerima rawatan pemeriksaan kesihatan daripada pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan.
-ZS-