Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Dadah merupakan bahan terlarang yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan jika disalahgunakan.
Ianya adalah musuh nombor satu negara sejak 40 tahun lepas dan pelbagai kaedah digunakan kerajaan bagi menanganinya.
Menurut Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tanah Merah Afzariza Draman, gejala dadah memang sukar dihapuskan jika tidak mendapat kerjasama semua pihak.
“Pengaruh rakan sebaya dan peranan ibu bapa adalah penting bagi mengelakkan anak-anak dan orang sekeliling terjebak dengan penyalahgunaan dadah,” katanya di Program Training of Trainers (TOT) Penggerak Family on Alert kepada peneroka felda dan belia di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Rancangan (JKKR) Felda Kemahang 2, di sini semalam.
Ketua Peneroka Felda Kemahang 2, Ariffin Awang, 66, berkata ilmu dan maklumat yang diperolehi melalui program tersebut akan dikongsi dengan peneroka lain.
“Ianya supaya komuniti peneroka akan bersama-sama membenteras gejala dadah yang merosakkan bangsa dan negara,” katanya.
Isma Deraman, 40, dan Noraini Mohd Nor, 41, dari Felda Kemahang 3, berkongsi pandangan yang sama dan menyokong penuh usaha yang dibuat oleh kerajaan bagi membasmi gejala dadah.
“Kita akan memberi kerjasama dan bertindak segera jika ada saudara-mara yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi mewujudkan keluarga bahagia, bebas dari cengkaman dadah,” kata Noraini.
-ZS-