Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

‘Swim Fest’ Meriahkan Karnival@Tasek Temoh

By 26 Jun 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhannis Idris/Siti Nor Farhana (Batang Padang)  

TAPAH, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Acara ‘Swim Fest’ yang disertai seramai 60 peserta daripada pelbagai negeri memeriahkan Program Karnival@Tasek Temoh yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Pengunjung, Susan Conradie, 51, dari Petaling Jaya, berkata minat mendalam terhadap aktiviti renang membuatkannya teruja untuk datang apatah lagi pemandangan indah Tasek Temoh turut menaikkan semangat untuknya menyertai acara yang dirasakan cukup mencabar ini.

“Saya mengetahui tentang acara ini melalui iklan di Facebook yang dikongsikan oleh rakan dalam kumpulan WhatsApp renang kami,” tambahnya.

Pengalaman ini juga amat bermakna apabila Susan memenangi Naib Juara 1 wanita bagi kategori 3 kilometer (km).

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah Ahmad Roslan Mohamed Nazir, berkata karnival yang diadakan buat julung kalinya di Taman Tasek Temoh ini adalah di bawah Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) yang mana peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Penganjuran karnival seperti ini dapat menaikkan nama Tasek Temoh sebagai salah satu destinasi pelancongan dalam daerah Batang Padang sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.

Lebih 2,000 pengunjung hadir ke program ini dengan pelbagai aktiviti dijalankan bermula seawal pukul 6.30 pagi seperti zumba bersama Coach Hanif Shawn NTV7, Swim Fest 1.5 km dan 3 km, Pertandingan Memancing, Pertandingan Sukan Suri dan ‘Snakemaster Petting Zoo’.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda