Laporan/foto: Muhamad Amirulfarhan Mohd Daud (Kinta)
IPOH, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Hampir 200 peserta terdiri daripada penduduk setempat hadir mengikuti Program Pencegahan Jenayah Bersama Polis Daerah Ipoh 2023 di Panggung Silver Star, Kampung Simee, di sini pada Sabtu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning Jenny Choy Tsi Jen, program ini merupakan program yang pertama kalinya dianjurkan di panggung tersebut selepas pengubahsuaiannya selesai dijalankan.
“Saya ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berharap agar dapat terus meneruskan jalinan kerjasama antara PDRM dengan rakyat di kawasan Parlimen Ipoh Timor khususnya DUN Canning,” katanya ketika berucap.
Sementara itu, penduduk, Nic Siah, 40, berasa gembira dengan penganjuran program ini kerana dapat menimba ilmu seterusnya meningkatkan kefahaman mengenai usaha pencegahan jenayah yang berlaku dalam komuniti.
“Program ini juga mendidik masyarakat agar prihatin dengan situasi semasa jenayah selain meningkatkan keberanian orang awam dalam membantu pihak polis sekiranya berlaku kejadian jenayah di kawasan kejiranan,” tambahnya.
Menurut penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Azuari, 38, program ini juga merupakan satu jambatan yang dapat mengeratkan hubungan pihak polis dengan orang awam.
-ZS-