Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Golongan perlu belia bangkit memperkukuhkan iltizam seterusnya menggembleng tenaga membangunkan negara.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Mohd Azhari Mohammad usaha itu seharusnya diterajui sendiri oleh golongan belia termasuklah pertubuhan dan kepimpinan belia.
“Selaras dengan usaha melahirkan belia Malaysia yang sejahtera dan berdaya saing, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti pembangunan belia dan sukan di seluruh negara,”katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2023, di sini semalam.
Jelas beliau, antara program berimpak tinggi yang boleh disertai belia di Labuan adalah ‘Social Entrepreneurship for Rural Youth’ (SERY), Agro Belia, Jelajah Genta Belia, Liga Sukan Komuniti, Fit Malaysia, Hari Sukan Negara dan banyak lagi.
“Saya juga ingin menyeru semua untuk turut sama menyertai program Rakan Muda yang telah diberikan nafas baharu yang lebih segar dan menepati cita rasa anak muda dengan sepuluh gaya hidup,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mohammad Syahffie Japril dan Presiden Majlis Belia Labuan Nazera Roslan.
-ZS-