Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan peruntukkan tambahan sebanyak RM50 juta bagi memperluaskan Program Jualan Rahmah (PJR) ke seluruh negara.
Peruntukan tambahan itu membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.
“Saya mahu PJR ini diperluaskan. Kementerian ada mengusulkan supaya kalau boleh kita perluaskan ke setiap kawasan DUN di negara ini supaya semua rakyat boleh kecapi kemudahan itu.
“Kita melakukan ini kerana ia menyentuh secara langsung golongan berpendapatan rendah. Tidak makna bicara soal rahmah, tidak ada makna bicara soal perjuangan, tidak ada erti bicara soal kasih sayang, ihsan dan prihatin kalau soal makanan mereka tidak terjamin,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan 2023 (HPK 2023) di Pavilion Bukit Jalil.
Pada masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif itu dan percaya Menteri Pemangku KPDN Datuk Armizan Mohd Ali bersama Timbalan Menterinya Fuziah Salleh serta seluruh warga KPDN dapat mempertahankan rekod kejayaan di samping membawa agenda itu ke hadapan.
-ZS-