Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Sabah)
KOTA KINABALU, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil inisiatif meneruskan program pengesanan awal kanser dalam kalangan wanita.
Menurut Ketua Jururawat, Rohana Jahidi, 47, penganjuran program ini memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser reproduktif melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) selain menawarkan perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak LPPKN.
“Pengisian program WCARE merupakan usaha bagi mempromosikan Program Saringan Kanser Servik dan Program Subsidi Ujian Mamogram kepada wanita khususnya di Sabah.
Saya menyeru kepada para wanita yang berkelayakan mengambil peluang melakukan pengesanan awal yang mana kanser reproduktif dan payudara boleh dirawat jika dikesan awal,” jelasnya ketika ditemui pada Program Perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak LPPKN dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, di sini pada hari ini.
Salah seorang peserta, Ezzerlyne Luting, 33, berkata banyak manfaat yang diperolehi melalui program ini.
“Manfaatnya, dapat mengetahui lebih lanjut kepentingan pengesanan awal kanser terutamanya kanser reproduktif dan kanser payudara melalui taklimat yang diberikan,” kongsinya.
Bagi Noorazira Sabaharuddin, 28, program ini sangat baik dan perlu diteruskan kerana boleh mencegah kanser lebih awal.
“Lakukanlah saringan kesihatan anda setahun sekali dan bagi yang sudah berkahwin jangan takut untuk melakukan ujian pemeriksaan saringan Pap Smear,” jelasnya.
-ZS-