Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 28 anak-anak warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima bantuan pendidikan melalui inisiatif Dermasiswa Premium.
“Pendidikan adalah satu pelaburan jangka masa panjang. Insya-Allah, pelaburan ini akan memberikan pulangan yang baik kepada semua pihak termasuk masyarakat dan negara.
“Fokus kita untuk memacu pendidikan anak-anak warga dan veteran ATM. Kerajaan akan sentiasa memastikan kebajikan mereka dibela terutamanya dalam agenda pendidikan,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan di Majlis Pelancaran Karnival Pendidikan ATM 2023 di Wisma Pertahanan, di sini semalam.
Menurut Mohamad, Dermasiswa Premium merupakan bantuan sekali beri sebanyak RM5,000 untuk anak-anak dan veteran ATM yang melanjutkan pelajaran ke-100 universiti terbaik dunia.
“Bantuan dan sumbangan yang disalurkan melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu selaras dengan hasrat Kerajaan dalam merealisasikan Kertas Putih Pertahanan (KPP) khususnya dalam memastikan hala tuju pendidikan anak-anak warga ATM terjamin menerusi program-program sedia ada yang ditawarkan seperti Skim Penabungan Anak-anak ATM Rukun Kelima (SPARK), Program Sentuhan Elit SPM, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia dan Program Bantuan IPTA,” katanya.
Turut disampaikan sumbangan komputer riba kepada 64 anak-anak warga dan veteran ATM yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
-ZS-