Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)
KOTA KINABALU, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Penglibatan dalam penjagaan kesihatan wanita masa kini mampu menaikkan ekonomi golongan wanita berpendapatan rendah.
Pengerusi MamaCare Sabah, Rusidah Abdullah, 53, berkata demikian
ketika berkongsi tentang penglibatannya dalam bidang perniagaan di Program Perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak LPPKN dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, di sini pada hari ini.
“Dahulu saya bekerja sebagai pembersih pejabat di Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), namun atas saranan pengarah saya pada masa itu menyebabkan saya menceburi bidang ini.
“Syukur, menerusi program ini saya berjaya meningkatkan pendapatan. Setakat ini seramai 100 ahli MamaCare di seluruh Sabah dan diharap akan ada lagi wanita di luar sana menyertai program ini,” kongsinya.
Sementara itu, seorang pelanggan Johanna Lokupi, 55, menyambut baik program MamaCare.
“Saya suka menggunakan produk kesihatan berasaskan herba, dan pada program hari ini saya berpeluang untuk mendapatkan produk berasaskan herba MamaCare.
Tambahnya, MamaCare bukan sahaja untuk penjagaan wanita bersalin tetapi kita boleh mendapatkan pelbagai produk kesihatan berasaskan herba di sini.
-ZS-