Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Muhd Naim Mohd Shaari (Jempol)
JEMPOL, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM100 ribu telah diluluskan bagi membaik pulih fasiliti, kerosakan bumbung dan bangunan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) FELDA Palong 11, di sini yang dilanda tiupan angin kencang pada 25 Jun lalu.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil semua peralatan di PEDi tersebut telah rosak dan tidak boleh digunakan.
“Namun atas usaha dan kerjasama yang baik daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Digital, Telekom Malaysia dan Ahli Parlimen Jempol telah melihat apa yang boleh diusahakan dengan kadar segera bagi membaik pulih fasiliti pusat ini.
“PEDi memainkan peranan yang amat penting sebagai penyambung dan pemangkin ekonomi digital bagi penduduk setempat,” katanya.
Menurut Fahmi lagi, kementeriannya tidak mahu aktiviti-aktiviti yang berjalan di PEDi tergendala.
“Dalam tempoh yang sangat singkat lebih kurang lima hari, sebuah lokasi sementara telah diaktifkan dan ia menjadi pusat digital sementara.
“Pembaikan akan mengambil masa lebih kurang enam bulan dan dijangka tidak terlalu lama dari sekarang di kawasan ini bukan sahaja akan ada PEDi semula bahkan selepas ini talian internet juga akan lebih laju,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Jempol Datuk Haji Shamshulkahar Mohd Deli dan Ketua-Ketua Jabatan daerah Jempol.
-ZS-