Laporan/foto: Zayana Isa/Azrul Azham Azmi (Pahang)
TEMERLOH, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Penggunaan loghat Pahang dalam video yang dimuatnaik ke aplikasi media sosial TikTok bukan sahaja meraih perhatian warga net, namun telah merubah kehidupan seorang gadis.
Nur Faiza Izzati Azmi, 21 atau dikenali sebagai LizzyZaty di aplikasi TikTok tidak menyangka hidupnya yang dahulu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kini berubah dalam sekelip mata.
“Mula-mula saya buat video masakan, pada awalnya memang tidak ramai yang menonton dan mengenali saya di TikTok hinggalah satu video saya bercakap loghat Temerloh ketika sedang bersiar-siar di Art Street Temerloh meraih perhatian penonton,” katanya.
Ujarnya lagi, video itu meraih perhatian dan menjadi tular kerana gayanya yang bersahaja dan menggunakan loghat Pahang.
“Sebelum ini saya memang ada banyak buat video masakan dan bila dah ramai orang buat saya cuba suka-suka untuk buat video ala-ala ‘review’ tempat pelancongan,” kata anak kelahiran Kampung Lebak Seberang ini.
“Saya ini hidup susah, masa sekolah saya tiada kawan dan saya hanya bersekolah hingga Tingkatan 4 sahaja atas beberapa faktor.
“Selepas ibu meninggal, ayah pula jatuh sakit dan disebabkan itu, saya tidak bersekolah dan akhirnya berhenti,” ceritanya.
Mengakui kehidupannya berubah setelah menjadi tular di media sosial, Izzati senang hati kerana dapat membantu keluarganya menjana pendapatan dan menanam hasrat untuk terus menghasilkan video yang menarik.
“Saya tanamkan niat untuk menghiburkan orang, saya nak jadi pencipta kandungan yang lebih baik dalam usaha untuk mendidik masyarakat dan memberi kesedaran melalui video yang dihasilkan,” katanya.
-ZS-