Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)
MASJID TANAH, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 154 orang pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) menerima bantuan persekolahan dan cermin mata daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Melaka sempena program Kembara Seri Setia di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini baru-baru ini.
Bantuan tersebut disalurkan kepada pelajar sekolah rendah agama di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ‘Better Brighter Vision’, syarikat tersebut.
Ibu pelajar Noorezzatul Abdul Aziz, 34, berkata sumbangan ini dapat mengurangkan beban ibu bapa untuk membeli cermin mata anak-anak mereka.
“Terima kasih kepada TNB Negeri Melaka kerana turut memberikan sumbangan kepada pelajar cemerlang. Diharapkan usaha ini berterusan pada masa hadapan,” ujarnya.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hadir menyampaikan sumbangan tersebut.
-ZS-