Laporan/foto: Sheikh Mohamed Nazim Sheikh Abd Kadir/Nor Sofian Abdul Manan
SEGAMAT, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 415 sukarelawan turut serta dalam Program MADANI Afiat di Padang Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, di sini pada Sabtu bagi membasmi dan membanteras pembiakan nyamuk Aedes.
Sukarelawan terdiri daripada MyCHAMPION COMBI Daerah Segamat, Hero Kebersihan dari SWCorp, agensi kerajaan dan swasta telah berganding bahu melaksanakan aktiviti pemeriksaan kebersihan persekitaran rumah bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa, berkata aktiviti gotong- royong sebegini dapat menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes dan haruslah diamalkan oleh masyarakat setempat agar dapat mengekang kejadian demam denggi.
Program MADANI Afiat yang merupakan cetusan idea Dr Zaliha Mustafa bertujuan membawa khidmat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada komuniti secara terus agar dapat memberi kesedaran terhadap pentingnya menjaga kesihatan.
Menurut salah seorang warga setempat Muhammad Faizal Ibrahim, 33, program seperti ini diharapkan boleh dilakukan secara berkala agar dapat memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap tahap kesihatan mereka.
“Ianya membantu membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan persekitaran,” katanya.
Seramai 130 jururawat dari Insituti Latihan KKM (ILKKM) Batu Pahat hadir dan turut membantu melaksanakan saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, ujian gula dalam darah dan ujian kolesterol serta memberi pendidikan kesihatan berkaitan cara hidup sihat.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon, Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr. Haji Mohtar Haji Ahmad.
-ZS-