Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Festival Sastera Kanak-Kanak 2023 Pupuk Semangat Perpaduan Masyarakat

By 24 Ogos 2023September 5th, 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Irina Abd Samad/Rahimah Rafiai

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Festival Sastera Kanak-Kanak (FSK) 2023 mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Berucap pada Majlis Perasmian FSK 2023, di sini semalam Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, berkata program yang dilaksanakan ini mampu memupuk semangat perpaduan dan memperkasa rakyat melalui pengisian aktiviti didik hibur dan pembelajaran sepanjang hayat kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

“Pemilihan tema FSK 2023 iaitu ‘ Cerita Kita, Warisan Kita’ amat bertepatan dengan inisiatif program ‘Ini Warisan Kita’ kerana elemen pengisian aktiviti FSK ini turut menyuntik perkongsian cerita warisan kebangsaan yang mampu membakar semula semangat perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya kanak-kanak dan remaja,” katanya.

FSK 2023 yang diadakan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) selama dua hari bermula semalam bertujuan meningkatkan amalan budaya membaca dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda melalui aktiviti penulisan, pembacaan dan penceritaan di samping menyemarakkan dunia sastera kanak- kanak di Malaysia.

Antara yang menarik dan tidak patut dilepaskan di festival ini ialah pengunjung boleh mendapatkan barang keperluan seperti buku, pakaian, makanan dan minuman, produk kesihatan dan kecantikan serta banyak lagi dengan harga yang berpatutan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda