
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Pihak swasta diseru untuk bersama-sama rakyat Malaysia menyemarakkan dan megibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
“Saya nampak ramai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan agensi-agensi kerajaan yang lain membuat edaran Jalur Gemilang.
“Namun, saya mengalu-alukan pihak swasta juga membantu kita sekurang-kurangnya memasang Jalur Gemilang di tempat kerja dan sebagainya supaya rakyat Malaysia boleh merasai suasana Sambutan Hari Kebangsaan 2023,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching Teo ketika mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di KL Sentral, semalam.
“Kita lahir sebagai warga Malaysia harus bangga kibarkan Jalur Gemilang. Kita perlu bersatu hati memelihara keharmonian negara kita tanpa mengenal perbezaan ideologi politik.
Lebih 600 Jalur Gemilang diedarkan kepada pengguna pengangkutan awam di situ bagi menyemarakkan lagi kehangatan Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang bakal disambut pada hari Khamis minggu hadapan.
Teo turut memaklumkan waktu operasi Rapid KL di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni; LRT Masjid Jamek; LRT KLCC; dan LRT Ampang Park bagi laluan Kelana Jaya, LRT Masjid Jamek Laluan Ampang; Monorel Bukit Bintang; Transit Aliran Massa (MRT) Bukit Bintang dan MRT Pasar Seni bagi Laluan MRT Kajang; serta MRT Ampang Park dan MRT Persiaran KLCC bagi Laluan MRT Putrajaya dan KL Monorel akan dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi pada 30 Ogos nanti sempena Sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka.
“Pada 31 Ogos, sambutan diadakan di Dataran Putrajaya, jadi perkhidmatan Rapid KL akan bermula pada pukul 4 pagi untuk memberi peluang kepada warga kota yang ingin ke sana bersama-sama meraikan acara sambutan Hari Kebangsan 2023.
“Kita juga menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya melibatkan sebanyak 50 bas selain tiga perkhidmatan bas percuma merangkumi laluan MRT Putrajaya Sentral, ke Dataran Putrajaya, Nasyrul Quran Presint 14 dan Marina Putrajaya,” ujarnya.
-ZS-