
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Mohammad Ezwandi (Perak)
BAGAN DATUK, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Pesilat Muda Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari mencuri tumpuan peserta ketika membuat persembahan menyambut ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Perak 2023 di Sungai Sumun, di sini baru-baru ini.
Guru Ko-Kurikulum Rasis Muhamad Rosdi, 30, berkata seni silat bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang taat dan berkeyakinan malah ia juga mampu membentuk disiplin dan adab yang tinggi.
“Disiplin dan komitmen pesilat dapat dilihat melalui kaedah memberi hormat kepada tetamu sebelum memulakan persembahan silat,” ujarnya.
Sementara itu, pesilat Muhammad Syahmi Amzar Basri, 16, berkata walaupun ini merupakan pengalaman kali pertama baginya membuat persembahan di hadapan orang ramai, dia tidak berasa kekok kerana telah membuat persiapan lebih awal.
Konvoi KMJG ini akan mengakhiri ekspedisi jelajah daerah pada hari ini (Jumaat).
-ZS-