Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

MPPWP dan Komuniti Malaysia Madani Diseru Jadi Peneraju Program Kenegaraan

By 26 Ogos 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan dan Komuniti Malaysia Madani di pulau itu diseru untuk menjadi peneraju dalam sebarang program berbentuk kenegaraan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, kedua-dua entiti itu boleh berganding tenaga melaksanakan sebarang aktiviti kenegaraan di peringkat komuniti.

“Ini selaras dengan objektif MPPWP iaitu memastikan semua aktiviti modal insan dan kemasyarakatan dilaksanakan ke peringkat akar umbi.

“Peranan Komuniti Malaysia Madani iaitu memupuk nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat, selain membantu menyalurkan maklumat serta inisiatif kerajaan yang sahih dan pantas ke peringkat akar umbi secara berterusan,” katanya semasa merasmikan Program Semarak Gemilang 2023 yang dianjurkan Jabatan Penerangan Labuan dengan kerjasama MPPWP Zon Labuan di Kampung Sungai Bangat, di sini pagi tadi.

Jelasnya lagi, kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam usaha melestarikan komuniti yang berinformasi, berjiwa patriotik serta saling hidup dengan harmoni di antara satu dengan yang lain.

“MPPWP dan Komuniti Malaysia Madani mampu menjadi jentera barisan hadapan dalam usaha menyemai semangat merdeka dalam jiwa setiap lapisan masyarakat seiring dengan Konsep Malaysia Madani yang mengutamakan semangat perpaduan demi kesejahteraan komuniti serta negara,” katanya.

Program itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti Senam Seni Madani Pertandingan Bintang Patriotik, Pameran Agensi Kerajaan, Pemeriksaan Kesihatan dan Acara Sukaneka.

Turur hadir Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Azman Sipan dan Pengerusi MPPWP Zon Labuan S Roslee Matusin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda