Laporan/foto: Andi Abdul Rohim/Nurul Habibah Hassan (Manjung)
MANJUNG, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Tiada kata dapat diungkap melainkan rasa teruja dan gembira selepas menerima rumah pertama menerusi Rumah Perakku.
Bagi Rohaya Leman, 57, yang berasal dari Bagan Datuk, dia bersyukur dan tidak menyangka menjadi salah seorang pembeli Rumah Perakku yang merupakan rumah pertamanya.
“Terima kasih kepada Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP) dan Kerajaan Negeri Perak kerana memberi peluang ini untuk memiliki kediaman Rumah Perakku Taman Serdang, Sitiawan sebelum bersara dari perkhidmatan awam,” katanya yang bekerja di Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Daerah Manjung.
Tambah Rohaya, dia yang sudah berkeluarga dan mempunyai lapan orang anak bersyukur kerana dengan rumah ini akan memudahkan urusan kerjanya di Seri Manjung.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata seramai 447 pembeli meliputi 100 unit kediaman kos rendah dan 347 unit kediaman mampu milik teres setingkat.
“Ia membabitkan pembangunan di kawasan seluas 29 ekar dengan kos berjumlah RM55.3 juta.
“LPHP juga akan mencadangkan supaya had kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembeli Rumah Kos Rendah ditingkatkan daripada RM3,860 kepada RM5,000 sebulan supaya lebih ramai mampu memiliki rumah kediaman,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Perakku Taman Perakku Serdang, Sitiawan, di sini baru-baru ini.
-ZS-