
Laporan/foto: Hisham Salleh/JaPen
PUTRAJAYA, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – “Makcik sayu tengok gambar-gambar Tun. Terkenang zaman berkhidmat bersama-sama (Tun Dr. Ismail). Orangnya tegas, tapi lembut tutur katanya. Selalu bertanya khabar anak buah.”
Itulah ungkapan Puan Siti Mariam, 75, semasa dilihat menitiskan air mata, tatkala berdiri menatap Wall of Memories, di Majlis Memperingati Negarawan Almarhum Tun Dr. Ismail Al-Haj, bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.
Majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan, dianjurkan bagi berkongsi kepada rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, mengenai sumbangan dan perjuangan Tun Dr. Ismail dalam membangunkan negara.
Sebuah dokumentari khas yang memaparkan perjuangan beliau sejak tahun 1948, sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ogos 1973, turut ditayangkan kepada pengunjung pada majlis tersebut.
“Saya selalu pergi makan malam di kawasan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), dan saya selalu juga tertanya-tanya siapakah gerangan TDI ini. Hari ini, saya belajar banyak tentang beliau. Selepas ini, kalau ada sesiapa yang tanya pasal Tun, saya dah boleh ceritakan,” ujar Matthew Nagaratnam, 31, seorang pekerja swasta di salah satu bank berdekatan.
Terdahulu, dalam ucapan beliau, Datuk Seri Anwar mengingatkan generasi muda agar mencontohi ketegasan dan integriti tinggi, yang diamalkan Almarhum Tun Dr Ismail dalam memimpin negara.
“Perkara ini perlu hidup dalam negara kita, negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” tegasnya.
Almarhum yang pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, merupakan antara pemimpin yang mencetuskan idea pembentukan Rukun Negara, yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.
Majlis yang bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, turut dimeriahkan dengan pelbagai reruai jualan produk-produk tempatan, makanan dan minuman, buah-buahan, serta disediakan juga perkhidmatan saringan kesihatan yang percuma untuk pengunjung.
Satu majlis bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan di Masjid Negara, semalam, dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
-HS-