Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Pahang dapat Sambutan Luar Jangka

By 3 Ogos 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

PEKAN, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Bandar Diraja Pekan, kelmarin mendapat sambutan luar jangkaan oleh penduduk negeri itu.

Lebih 2,000 orang hadir di majlis pelancaran tersebut.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan perasmian mengingatkan masyarakat untuk mempertahankan maruah yang ada pada Jalur Gemilang.

“Kenapa kita perlu adakan program Pelancaran Kibar Jalur Gemilang? Ini kerana dengan adanya program sebegini, ia dapat membangkitkan rasa hormat kita terhadap Jalur Gemilang yang merupakan bendera utama negara kita.

“Malah, menerusi Jalur Gemilang ia turut mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia yang mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang,” katanya.

Katanya, inilah semangat yang kita harus ambil iktibar iaitu bagaimana kita wajib pertahankan maruah yang ada pada Jalur Gemilang dirasakan sudah semakin pudar dalam jiwa kita terutamanya terhadap generasi muda pada hari ini.

“Oleh yang demikian, menerusi program ini, saya berharap kita dapat bersama-sama menterjemahkan bentuk solidariti itu dengan mengibar megah Jalur Gemilang dan juga bendera Negeri Pahang dan kibarkan bendera-bendera ini di rumah kita, di premis-premis kerajaan dan swasta, pusat perniagaan dan semua tempat yang bersesuaian,” ujarnya.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan, deklamasi sajak, nyanyian artis terkenal Afiq Syazwan dan Tajul serta cabutan bertuah.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang merangkap Pengerusi Sambutan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Pahang Datuk Mohamad Nizar  Datuk Seri Mohamad Najib, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Indera Haji Zulkifli Haji Yaacaob dan pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Pahang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda