Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Yang Dipertua DUN Pahang Serah Notis Pengisytiharan Kekosongan DUN Pelangai

By 22 Ogos 2023September 5th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyerahkan notis pengisytiharan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun.

Johari, 53, disahkan terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina Central Park di Shah Alam, Selangor, pada Khamis lalu.

Menurut Shakar, notis pemakluman rasmi itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli untuk pihak SPR mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Ini adalah prosedur yang harus dilaksanakan oleh SPR apabila terdapat kekosongan kerusi DUN disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan seperti yang berlaku ke atas Allahyarham (Johari) iaitu kemalangan jiwa atau berkaitan peraturan undang-undang dan sebagainya.

“PRK terpaksa diadakan, jadi sebagai Speaker dan timbalan saya (Timbalan Yang Dipertua DUN Pahang Lee Chin Chen) kita telah menyerahkan surat bagi memaklumkan kepada SPR tentang notis kekosongan DUN Pelangai untuk tindakan selanjutnya oleh pihak SPR,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.

Sementara itu, Datuk Zamree Hamli, berkata pihaknya akan memaklumkan kepada ibu pejabat SPR di Putrajaya mengenai notis berkenaan dan satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan pada minggu ini.

“Ibu pejabat SPR juga dijangka mengadakan mesyuarat khas minggu ini bagi menetapkan tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda