
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
KUANG, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 287 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kundang mengikuti simulasi pilihan raya di Dewan Gemilang, di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima yang tidak pernah berpengalaman mengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang lalu.
Pengetua SMK Seri Kundang, Rahmat Bebe S S Abdul Razak, berkata pihaknya menyambut baik program kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Gombak bersama Akademi Pilihan Raya (APR) menjayakan simulasi mengikut situasi sebenar.
“Pelajar didedahkan bermula proses penamaan calon, tempoh berkempen hingga hari pengundian secara praktikal hari ini,” katanya.
Seorang pelajar, Muhammad Zaireel Farhan Mohd Zafiru, 17, berkata dia tidak sabar untuk mengundi semasa hari mengundi sebenar nanti apabila genap usia 18 tahun hadapan.
“Ini adalah pengalaman pertama ‘mengundi’ yang dapat digunakan ketika proses pengundian sebenar, sebelum ini maklumat diterima melalui bacaan buku atau dalam kelas,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.
Seorang lagi pelajar, Imelda Irdina Damia Ismail, 16, pula memaklumkan beliau hanya mengetahui maklumat mengundi secara teori sahaja di dalam kelas.
“Program ini memberi pendedahan kepada kami cara mengundi dengan betul dan undi itu adalah rahsia,” katanya yang tinggal di Kampung Melayu Sri Kundang.
-ZS-