Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Dua Menara Telekomunikasi Baharu Manfaatkan 6,000 Penduduk Labuan

By 21 September 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Dua menara telekomunikasi baharu di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa satu telah beroperasi di Kampung Lubok Temiang dan Kampung Pohon Batu memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 orang penduduk sekitarnya.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Persekutuan Alyas Roy Amir projek pembinaan dua menara baharu itu bermula pada tahun 2022.

“Menara di Lubok Temiang sudah beroperasi sejak Julai 2023 manakala di Pohon Batu beroperasi sejak April 2023 sekali gus memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya untuk menikmati liputan 4G yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“JENDELA mempunyai dua aspirasi iaitu menyediakan infrastruktur telekomunikasi digital di seluruh negara dan memberi kualiti liputan serta pengalaman penggunaan pada paras terbaik sepanjang masa,” katanya yang ditemui media semasa membuat lawatan ke menara telekomunikasi di Kampung Lubok Temiang petang tadi.

Jelas beliau, SKMM turut menyasarkan Labuan akan mendapat 90 peratus liputan 5G menjelang akhir 2023 di bawah inisiatif JENDELA fasa dua.

“Kita turut merancang membina 44 stesen pangkalan 5G yang mana setakat ini 26 stesen pangkalan sudah siap dibina sekaligus memberi liputan sekitar 60 peratus di kawasan berpenduduk di Labuan.

“Kami tidak mahu Labuan terpinggir daripada pembangunan 5G dan kita sasarkan semua stesen pangkalan 5G siap dibina menjelang hujung tahun ini serta memberi liputan 5G mencapai lebih 90 peratus di Labuan,” katanya.

Tambahnya, sehingga Ogos 2023 Labuan sudah mendapat 99 peratus liputan 4G dan SKMM akan mencari kelompongan yang ada di Labuan termasuk di beberapa pulau berhampiran yang berpotensi dijadikan sebagai pusat pelancongan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda