
Laporan/foto: Hisham Salleh/ITE HCMC
HO CHI MINH, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) berjaya merangkul dua anugerah di 4th ASEAN PR Excellence Awards 2023 di Ho Chi Minh City, Vietnam, semalam.
Dua anugerah yang diterima adalah Anugerah Berlian bagi kategori ‘Best Crisis Management’, dan Anugerah Gangsa untuk kategori ‘Best Government PR’.
Bagi kedua-dua kategori ini, JaPen telah mengemukakan laporan khas berkaitan peranan mereka sebagai agensi yang bertanggungjawab, dalam pengurusan media semasa tragedi bencana tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, pada 16 Disember 2022.
Manakala, Mantan Ketua Pengarah JaPen, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, turut merangkul anugerah Public Relations Lifetime Achievement, di majlis tersebut.
“Anugerah tersebut adalah satu penghargaan terhadap peranan perhubungan awam dalam membentuk naratif, mempengaruhi perubahan, dan membina kepercayaan. Perhubungan awam bukanlah sekadar sebuah profesion; ia adalah satu bentuk seni,” ujarnya.
Dalam majlis yang sama, Universiti Teknologi MARA, berjaya merangkul Anugerah Gangsa bagi kategori ‘Outstanding University in Public Relations’.
ASEAN PR Excellence Awards merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh ASEAN Public Relations Network (APRN) untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang sektor perhubungan awam di negara-negara ASEAN.
Turut diadakan adalah 4th ASEAN Public Relations Conference yang menghimpunkan pakar-pakar perhubungan awam bagi membincangkan isu-isu terkini dalam sektor tersebut. Presiden Institute of Public Relations Malaysia (IPRM), Jaffri Amin Osman, serta Datuk Ibrahim turut mengambil bahagian sebagai penceramah dalam persidangan tersebut.
-HS-