Laporan/foto: Muhamad Zaini Dollah/Mohd Faizal Mat Akhir
NIBONG TEBAL, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 80 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist didedahkan dengan situasi sebenar proses pengundian ketika Pilihan Raya menerusi program Demokrasi Kita@Kelab Malaysiaku memberi pengalaman berharga kepada mereka, di sini kelmarin.
Menerusi program itu, penuntut diberi peluang melakukan situasi sebenar proses pengundian seperti berbaris mengikut saluran, pengesahan identiti, cara melipat kertas undian dan lain-lain lagi.
Pengetua SMK Methodist Dr. Sivasanggar Subramaniam melahirkan rasa gembira kerana Pejabat Penerangan Seberang Perai Selatan (SPS) telah memilih sekolah tersebut dalam penganjuran program Demokrasi Kita.
“Pelaksanaan program ini membolehkan pelajar memahami sistem demokrasi yang diamalkan serta menjadi platform yang berkesan dalam mendidik pelajar menghormati amalan demokrasi berparlimen,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Penerangan SPS Mahyudin Abd Rani, berkata program bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran awal kepada pelajar terhadap tanggungjawab sebagai pengundi.
“Dengan pendedahan awal ini, kita berharap dapat melahirkan pengundi yang celik demokrasi, matang dan bijak memilih dalam menentukan masa depan negara,” katanya.
Taklimat proses pengundian turut disampaikan oleh wakil Pejabat SPR Negeri Mohamad Azwan Abu Bakar.
-ZS-