Laporan foto: Mohd Zahari Zakaria/Ariza Mohd Zaki (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) Peringkat Parlimen Bukit Mertajam di perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Pusat Perniagaan Wellesley, di sini kelmarin diserbu penduduk.
Lebih 3,000 orang masyarakat setempat sekitar kawasan Bukit Mertajam menyerbu jualan ini untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti ayam mentah, telur, beras, minyak dan lain-lain lagi.
Program yang berlangsung seawal 8.00 pagi itu mendapat sambutan hangat kerana setiap barang dijual pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran.
Barang yang paling mendapat sambutan ialah jualan beras super import 5 kilogram yang dijual pada harga RM14 dan dihadkan hanya satu pek kepada setiap pembeli bagi memberi peluang lebih ramai pengunjung mendapat bekalan beras yang lebih rendah daripada harga pasaran.
Penduduk tempatan Sanusi Ahmad, 50, berkata program sebegini wajar diadakan lebih kerap.
“Ianya dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah berbelanja dengan harga yang lebih murah sekali gus mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup meraka,” katanya.
Sementara itu, Lee Weng Heng, 35, berkata program seumpama itu perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar bagi memberi peluang kepada penduduk di kampung mendapat manfaat daripada PJR.
Turut hadir Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga Timbalan Menteri Kewangan (II) Steven Sim.
-ZS-